mutakhir

Mohon jadi tapak warisan

Oleh Zulfa Mohamad

KAWASAN di Kota Aur Penaga, Kepala Batas di mana candi serta kuil Hindu-Budha dipercayai berusia 2,000 tahun dijumpai, 15 tahun lalu diminta dijadikan tapak warisan.

Penduduk, Roslan Talib, 53, berkata, tapak seluas 0.3 hektar yang terletak di belakang rumah ibu mentuanya itu dipercayai tertanam candi Hindu-Budha yang mempunyai kaitan dengan tapak sejarah Lembah Bujang.

Beliau yang juga Pensyarah di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, kira-kira 15 tahun lalu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuat kerja cari gali di tapak berkenaan dan menemui tiga objek candi.

Penemuan batu laterit yang biasa digunakan untuk membina tapak kuil itu mengukuhkan bukti kawasan berkenaan pernah menjadi lokasi penempatan manusia sebelum Islam.

Batu berkenaan juga dikatakan sama dengan ditemui di Lembah Bujang.

Namun selepas penemuan itu, kawasan terbabit dikambus semula sehinggalah kini.

"Ramai yang tidak tahu berkenaan tapak kuil Hindu-Budha di situ kerana ia tertanam dalam tanah tetapi serpihan batu laterit yang berongga masih kelihatan.

"Selalunya hanya di Kedah kita boleh lihat kesan runtuhan bahan sejarah tetapi

jarang sekali di Pulau Pinang.

"Justeru itu, saya merancang membina muzium mini di tapak berkenaan agar boleh dilihat orang ramai dan pelancong asing yang datang ke Inap Desa Kota Aur," katanya kepada Harian Metro.

Katanya, tapak berkenaan dipercayai seusia dengan tapak sejarah Lembah Bujang, Kedah.

Katanya, kawasan itu berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan dan dia merancang memohon peruntukan daripada USM untuk membina galeri mini di tapak berkenaan.

"Jika pengunjung Galeri Arkeologi Guar Kepah boleh melihat rangka manusia Neolitik berusia 5,000 tahun, tapak sejarah Kota Aur juga berpotensi dibangunkan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang (PERWARISAN) Dahalan Fazil berkata, tapak sejarah Kota Aur dipercayai mempunyai kaitan dengan penempatan awal di Lembah Bujang.

"Saya percaya ada lagi objek tertanam di situ kerana kerja cali gali pernah

dilakukan sebelum ini," katanya.

Pada 17 April lalu, tulang rangka dipercayai milik manusia purba ditemui ketika kerja korek tanah untuk pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah yang terletak kira-kira tiga kilometer dari situ.

Tulang berkenaan ditemui pada kedalaman dua meter dan selain tulang dipercayai bahagian rusuk, turut ditemui ialah alat pemburuan dan batu laut dipercayai pernah digunakan manusia zaman Neolitik.

Sebelum ini, 37 rangka ditemui pengkaji Inggeris di tapak sama pada 1850 dan dikatakan masih disimpan di Universiti Leiden, Belanda.

Penemuan rangka berkenaan yang digelar 'Seberang Perai Man' mengukuhkan Guar Kepah sebagai Peta Arkeologi Dunia.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 5:29pm
d