mutakhir

Terminum cecair pelarut

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan seorang kru kapal warga Filipina yang terminum cecair pelarut (thinner) di perairan 4.7 batu nautika barat daya Tanjung Piai, Pontian, Johor, hari ini.

Dalam kejadian 11.10 pagi itu, mangsa, Peter JR, 42, dibawa ke jeti Sungai Pulai sebelum dihantar ke hospital selepas keadaannya lemah.

Pengarah APMM Daerah Maritim 6 Johor Bahru (DM6), Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, Bilik Operasi APMM DM 6 menerima panggilan kecemasan dari MRSC Johor Bahru berhubung kejadian itu.

"Mereka memaklumkan terdapat seorang mangsa kru Kapal New Caeser yang terminum bahan itu.

"Ketika panggilan dibuat oleh kepten kapal, mereka memaklumkan kapal berada di luar sempadan Malaysia iaitu kira-kira 4.7 batu nautika barat daya perairan Tanjung Piai, namun MRSC meminta mereka memasuki perairan malaysia terlebih dahulu untuk pertemuan dengan aset APMM untuk mengambil mangsa.

"Kapal berkenaan difahamkan berdaftar di Hong Kong dan belayar dari Singapura menuju ke Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata, selepas dimaklumkan berhubung kejadian itu, pihaknya menggerakkan aset Bot Kilat 18 ke lokasi kejadian bagi misi bantuan kecemasan di laut.

"Bot tiba di lokasi pada 2.05 petang, dan keadaan laut ketika itu bergelora. Pemeriksaan awal mendapati seorang mangsa lelaki warga Filipina berada dalam keadaan lemah," katanya.

Menurut beliau, mangsa dipindahkan ke bot ronda APMM untuk dibawa ke jeti Sungai Pulai pada 2.45 petang dan kemudian dihantar ke Hospital Colombia Asia, Gelang Patah untuk rawatan lanjut.

Katanya, orang ramai diminta menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi DM 6 ditalian 07-2199496 atau 010-3211066 untuk sebarang aduan kesalahan atau jenayah di laut.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 7:17pm
d