mutakhir

Tangani isu kenaikan harga bahan api

Oleh Muhammad Apendy Issahak

KERAJAAN akan membincangkan beberapa mekanisma bagi menangani isu kenaikan harga bahan api dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara esok.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Perdana Menteria Datuk Seri Najib Razak akan mempengerusikan mesyuarat itu bagi memperhalusi beberapa cadangan menangani isu berkenaan.

Menurutnya, terdapat beberapa pilihan cadangan berhubung isu kenaikan harga bahan api dan ia akan dibincangkan bagi membantu rakyat yang terkesan.

"Kita sedang kaji, ada banyak option (pilihan). Esok kita akan bentangkan kepada Economic Council (Majlis Ekonomi Negara) yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

"Perdana Menteri akan umumkan (jika ada apa-apa keputusan)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Sayang Malaysia di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Ahmad Zahid mengulas desakan dan permintaan rakyat dan pelbagai pihak yang mahu kerajaan campur tangan dan menaikkan subsidi bagi mengatasi isu kenaikan harga minyak dalam tempoh beberapa minggu sebelum ini.

Ditanya sama ada kerajaan akan menaikkan kadar subsidi dan campur tangan jika harga minyak mencapai RM3 seliter, Ahmad Zahid berkata, perkara itu antara cadangan yang dalam kajian kerajaan ketika ini.

"Tunggulah keputusan kerajaan," katanya.

Menurutnya, peningkatan harga minyak adalah disebabkan peningkatan harga bahan itu di pasaran dunia dan penentuan harga di negara ini mengikut kaedah pengumuman secara mingguan.

Disiarkan pada: November 19, 2017 @ 7:32pm
d