mutakhir

Jumpa terapung selepas hilang 48 jam!

Oleh D J Dolasoh

MAYAT Muhammad Faliq Fadzil, 26, mangsa kedua yang hilang dalam tragedi bot karam di Sungai Perak dekat Kampung Kelantan, Lenggong, Perak ditemui pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong Mohd Annuar Mohd Saff berkata, mayat Muhammad Faliq ditemui jam 7.55 pagi ini.

"Anggota kami yang meneruskan operasi mencari dan menyelamat menemui mangsa dalam keadaan terapung di permukaan air.

"Mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari jarak mangsa pertama yang ditemui semalam," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Jeti Tasik Raban dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, ibu Muhammad Faliq, Nor Hashimah Hashim, 48, berkata, dia dan keluarga bersyukur susulan penemuan mayat anaknya itu.

"Terima kasih kepada semua pihak terutama anggota bomba dan polis yang berusaha mencari anak saya itu," katanya.

Semalam, mayat rakan Muhammad Faliq iaitu Amirul Asyraff Abdullah, 24, ditemui pasukan bomba dan penyelamat jam 10.10 pagi iaitu kira-kira lima meter dari lokasi bot mangsa yang karam.

Dua rakan itu dikatakan menyewa bot di Tasik Raban dekat sini dan pergi memancing di Sungai Perak jam 8 pagi Sabtu lalu sebelum bot mereka naiki karam selepas dipercayai terlanggar tunggul kayu.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 9:59am
d