mutakhir

Rumah bernilai RM40,000 siap dalam masa 8 hari

Oleh HM Digital

Pekan: “Pada Mei lalu, kami mendapat rumah baru yang disumbangkan Perdana Menteri bagi menggantikan rumah lama peninggalan arwah bapa yang hangus terbakar.

“Hari ini, beliau (Datuk Seri Najib Razak) meluangkan masa singgah seketika menziarahi ibu yang terlantar. Pemimpin prihatin dan tidak melupakan rakyat seperti inilah yang kami mahukan,” kata Azman Alias, 53.

Azman berkata, rumah lama keluarganya hangus dalam kebakaran 29 April lalu dan UMNO Bahagian Pekan tampil memberi bantuan serta menyediakan tempat berteduh untuk keluarganya.

Katanya, dalam masa hanya lapan hari, rumah berharga RM40,000 dapat disiapkan menggunakan teknik Sistem Binaan Berindustri (IBS).

“Kami sekeluarga berterima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri atas bantuan diberikan.

“Tanpa keprihatinan kerajaan, kami mungkin tidak mampu menyediakan wang untuk membina rumah baru kerana tiada pendapatan tetap,” katanya selepas menerima kunjungan Najib sempena program UMNO Bantu Rakyat 2.0 anjuran Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BIKUM) di Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, semalam.

Hadir sama Pengerusi BIKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Menurut Azman, ibunya, Saodah Mat Akil, 85, mengalami masalah gangguan tidur (insomnia) yang teruk sejak kematian bapa mereka lima tahun lalu.

“Ada ketika ibu tidak dapat melelapkan mata berhari-hari lamanya dan apabila sudah terlampau penat, barulah dia tertidur antara dua hingga tiga hari.

Pelbagai aktiviti disediakan sepanjang sehari program berkenaan berlangsung termasuk pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma, gerai pameran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan perkhidmatan servis motosikal percuma daripada Giat MARA.

Aktiviti itu diletakkan atas tanggungjawab BIKUM sebagai pelopor dan barisan hadapan kepada usaha untuk berbudi kepada rakyat.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 11:17am
d