mutakhir

Tauke pusat hiburan didenda RM3,000

Oleh HM Digital

Alor Setar: Seorang pemilik pusat hiburan keluarga yang menderita penyakit cakera teranjak (slipped disc) dan menggunakan kerusi roda didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas kesalahan melanggar syarat lesen pusat hiburan dengan membenarkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun memasuki premis.

Majistret Nor Azah Idris menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Neo Ah Kwang, 62, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan tiga bulan jika gagal membayar denda itu. Tertuduh bagaimanapun membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengusahakan pusat hiburan karaoke terbuka dengan melanggar syarat lesen iaitu membenarkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun masuk ke dalam premis.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di premis No A3 Jalan Kebarung 1, Taman Bandar Baru Mergong, di sini, pada 3 September lalu, kira-kira 1.20 pagi dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 (3), Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Ruslan Usman manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Nuradzwan Rodzi.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 12:23pm
d