mutakhir

Nak tembak babi punya pasal

Oleh Nur Saliawati Salberi

SEORANG lelaki cedera di tapak kaki kiri akibat terkena peluru sesat dalam kejadian di Kampung Seri Mendapat, Merlimau, Melaka, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa yang berusia 30-an dikatakan melalui lokasi kejadian sebelum terkena tembakan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berpunca daripada tindakan seorang lelaki yang juga pemilik senjata api melepaskan tembakan untuk menembak babi hutan berhampiran kebunnya.

"Lelaki berkenaan yang berusia 50-an menembak seekor babi hutan yang melintas jalan berhampiran kebunnya dan tanpa disedari peluru mengenai kaki mangsa.

"Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Jasin dan pihak hospital kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian," katanya.

Arshad berkata, bertindak atas laporan diterima, polis menahan pemilik senjata berkenaan pada 5 petang.

Beliau berkata, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kerana melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kecederaan kepada orang awam.

"Selaras senapang patah bersama empat butir peluru turut dirampas dan semakan mendapati senjata api berkenaan berlesen," katanya.

Beliau berkata, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan anak peluru juga sudah dikeluarkan selain kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 2:04pm
d