mutakhir

Perlu tambak atasi banjir

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

RUMAH Jagaan Harapan Al-Mahabbah di Kampung Bagan Buaya, Changkat, Nibong Tebal memerlukan dana sekitar RM10,000 hingga RM20,000 bagi membuat penambakan di beberapa tempat rendah termasuk kantin, kawasan penanaman, penternakan dan rumah tamu sekali gus mengelakkan barangan rosak akibat banjir.

Wakil pengurusan rumah terbabit, Mohd Nasaie Mohd Muhid, 32, berkata, tandas lelaki yang sedia ada kini perlu dinaik taraf dan dibaiki bagi memberikan keselesaan untuk menempatkan lebih 30 pelajar baru bagi sesi tahun hadapan.

"Walaupun kawasan ini terselamat daripada banjir besar pada 4 November lalu, kami perlu melakukan persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan memandangkan tinggal di kawasan rendah dan berhampiran sungai, apatah lagi jangkaan gelombang banjir kedua dan ketiga bakal berlaku.

"Bagi yang ingin menyalurkan dana, boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB (860 098 7884) atas nama Rumah Jagaan Al Mahabbah," katanya.

Beliau berkata, rumah jagaan itu tidak terjejas atau dinaiki air ketika bencana banjir, 4 November lalu, namun hujan lebat pada pertengahan September lalu menyebabkan kawasan itu dinaiki air hingga paras lutut.

Dia berkata, ketika itu, salah satu ban daripada dua sungai berdekatan pecah menyebabkan air sungai melimpah sekali gus menyebabkan banjir di kawasan terbabit.

"Ketika itu, banyak kawasan terjejas antaranya kawasan penternakan lembu, kambing, ayam dan penanaman sayur dinaiki air hingga ke paras paha manakala kantin, rumah kakitangan, rumah tamu serta karpet surau turut terkesan.

"Banyak peralatan seperti mesin basuh, peti sejuk, peti simpanan sejuk beku dan lain-lain rosak. Malah, angin kencang baru-baru ini menyebabkan bumbung di tandas lelaki rosak, namun sudah dibaiki dan digantikan baru," katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 5:54pm
d