mutakhir

Diarah bela diri bunuh Kevin Morais

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan enam lelaki yang didakwa atas pertuduhan membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, dua tahun lalu untuk membela diri.

Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Tertuduh adalah Pakar Patologi tentera, Kolonel Dr R Kunaseegaran, 54; R Dinishwaran, 25; AK Thinesh Kumar, 24; M Vishwanath, 27; S Nimalan, 24, (kesemuanya penganggur), dan S Ravi Chandaran, 46, pemberi pinjaman wang.

Mahkamah kemudian menetapkan 18, 19, 21, 26 Januari dan 22 serta 23 Februari tahun depan sebagai tarikh mereka membela diri.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1 di Sentul ke No 1, Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Saiful Edris Zainuddin manakala peguam Datuk N Sivananthan dan Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Kunaseegaran, peguam V Rajehgopal mewakili Vishwanath, Nimalan, dan Ravi Chandaran; manakala peguam M Manoharan bertindak bagi pihak Dinishwaran dan Thinesh Kumar.

Pihak pendakwaan memanggil 70 saksi pada perbicaraan kes itu yang berlangsung selama 57 hari.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September 2015. Dia dilihat meninggalkan apartmennya di Menara Duta di sini dengan menaiki kereta Proton Perdana nombor pendaftaran WA6264Q.

Mayatnya ditemukan di dalam tong dram yang disimen di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September 2015.

Disiarkan pada: November 20, 2017 @ 6:42pm
d