mutakhir

58% rakyat kita guna Facebook

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Pengguna Internet di negara ini meningkat kepada 24.5 juta pada 2016 berbanding 24.1 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata, daripada jumlah itu, 89.3 peratus adalah pengguna laman sosial iaitu peningkatan mendadak berbanding 9.3 peratus pada 2015.

“Berdasarkan laporan terbaru Reuters, peningkatan penembusan jalur lebar menjadi antara faktor yang menggalakan penggunaan media sosial dalam kalangan pengguna Internet di Malaysia dan aplikasi tertinggi digunakan penduduk Malaysia adalah Facebook iaitu 58 peratus diikuti Whatsapp (51 peratus), Youtube (26 peratus) dan WeChat serta Instagram masing-masing 13 peratus.

“Selain itu, jumlah pemilik akaun beberapa media sosial seperti Twitter turut meningkat 13.7 peratus tahun lalu berbanding hanya 5.1 peratus tahun sebelumnya.

“Secara keseluruhan, Instagram merekodkan peningkatan pemilik akaun paling ketara sebanyak 36.4 peratus dengan jumlah pada 2016 seramai 12.3 juta,” katanya menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Ketika menjawab soalan tambahan Raime berhubung isu kebocoran dan perlindungan data peribadi, Jailani berkata, semua pengguna Internet di Malaysia dinasihatkan tidak mendedahkan maklumat peribadi di media sosial.

Beliau berkata, kerajaan menerusi agensi berkaitan memiliki akta tertentu melindungi pengguna namun orang ramai tidak seharusnya bergantung kepada akta berkenaan kerana yang paling mustahak adalah aspek kawalan kendiri ketika menggunakan Internet.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 4:07am
d