mutakhir

Lelaki Perancis patah kaki jatuh di air terjun Kionsom

Oleh Fardy Bungga

Kota Kinabalu: Seorang pelancong Perancis patah kaki kanan selepas terjatuh ketika mandi di kawasan air terjun Kionsom, Inanam, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, lelaki berusia 25 tahun itu dikatakan cuba mendaki bukit air terjun sebelum terjatuh dari ketinggian 10 meter.

Difahamkan, pelancong itu datang ke pusat pelancongan terbabit bersama ahli keluarganya.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.39 petang dan mengerahkan dua jentera bersama tujuh anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi mangsa didapati berada dalam keadaan sedar sebelum dibantu keluar dari kawasan air terjun berkenaan untuk mendapatkan rawatan awal pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizebeth (QEH) untuk mendapatkan rawatan susulan,” katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 4:40am
d