mutakhir

Tumbangnya `Otai' dadah

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SEORANG tokan dadah berusia 53 tahun diberkas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, suspek ditahan ketika sedang memandu kereta Volkswagon Polo di Taman Koperasi Polis Fasa 1, Setapak di sini.

Menurutnya, suspek berkemungkinan dalam perjalanan mahu menghantar bekalan dadah kepada pembeli.

Pemeriksaan dalam kenderaan dipandu suspek menemui satu beg plastik lutsinar mengandungi dadah syabu seberat 56.69 gram serta 30 pek foil aluminium berisi dadah sintetik eramin 5 seberat kira-kira 85.09 gram.

"Hasil penemuan itu, suspek membawa polis ke sebuah bengkel kereta di Salak Selatan yang dijadikan lokasi menyimpan bekalan dadah.

"Hasil pemeriksaan di bengkel itu, kami menemui beberapa peket kecil dadah syabu seberat 262 gram dalam sebuah kotak besi berwarna hitam," katanya.

Mohamad Roy berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM23,600.

"Suspek yang dipercayai sudah lama mengedar dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 12:21pm
d