mutakhir

Badak Jawa kini tinggal `sejarah'

Oleh BERNAMA

TIMBALAN Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Hamim Samuri memaklumkan spesis hidupan terancam Badak Jawa didapati sudah pupus mengikut rekod terkini hidupan liar di Malaysia.

“Malaysia, melalui senarai terkini merekodkan Badak Jawa sebagai pupus, sementara empat spesies lain iaitu Badak Sumatera, Harimau Malaya, Tenggiling dan Seladang dinilai sebagai spesies terancam kritikal,” katanya dalam ucapan perasmian Seminar Biodiversiti 2017 di Seremban, Negeri Sembilan.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan Kementerian, Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian.

Selain itu beliau berkata, sebanyak 12 spesies dinilai sebagai terancam, 14 spesis (rentan), 33 spesies (hampir terancam).

“Hidupan liar kita menghadapi pelbagai ancaman disebabkan pengecilan habitat dan kawasan rayau ekoran aktiviti pembukaan kawasan hutan dan perubahan guna tanah.

“Selain kehilangan habitat, populasi hidupan liar juga turut merosot terutamanya bagi spesies harimau dan gajah ekoran aktiviti pemburuan dan perdagangan haram hidupan liar akibat permintaan yang tinggi di pasaran gelap,” katanya.

Hamim dalam sidang media kemudiannya berkata Jabatan Perhilitan berjaya merekodkan tiga ekor spesies Badak Jawa di negara ini pada tahun 2010 namun spesies itu gagal dikesan dan direkodkan tahun ini menerusi pemantauan yang dijalankan menggunakan pelbagai kaedah termasuk pemasangan kamera.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 2:49pm
d