mutakhir

Hanya seorang masih terima rawatan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

TIADA lagi pelajar Kolej Vokasional Muar dilaporkan mengalami simptom keracunan makanan namun seorang masih menerima rawatan di hospital.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, keadaan pelajar yang masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar itu dalam keadaan stabil.

"Kita tidak menerima lagi pelajar yang tampil dengan simptom keracunan makanan. Hanya seorang saja masih menerima rawatan di hospital namun keadaannya stabil," katanya.

Ayub berkata, hari ini, pemeriksaan semula dapur asrama kolej akan dibuat oleh Pejabat Kesihatan Muar selepas arahan menutup premis itu selama tiga hari berakhir.

"Kantin diarahkan tutup selama tiga hari bermula pada Ahad lalu sehingga hari ini.

"Kita akan membuat pemeriksaan semula dapur asrama kolej dan membenarkan mereka beroperasi semula jika semua keperluan dipatuhi," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan 125 pelajar Kolej Vokasional Muar keracunan makanan dipercayai selepas menghadiri majlis makan malam yang disediakan kantin kolej itu.

Siasatan awal mendapati kupang rosak disyaki menjadi punca pelajar mengalami cirit-birit, loya, kejang perut, pening, muntah dan demam.

Selain itu, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati tiga pengendali makanan belum menjalani latihan penyediaan makanan dan menerusi rekod mendapati kali terakhir pemeriksaan dapur dibuat pada 8 November lalu.

Berita berkaitan

Kupang punca pasal

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 2:53pm
d