mutakhir

Harumanis ada potensi sehebat Musang King

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

KERAJAAN Persekutuan meluluskan peruntukan RM1 juta untuk pembangunan industri harumanis kepada Perlis berikutan ia berpotensi untuk dipasarkan ke luar negara seperti durian Musang King.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jumlah peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Pertanian itu bakal meningkat dari semasa ke semasa.

"Peruntukan RM1 juta ini meliputi tujuan pengurusan harumanis seperti pengurusan saliran air untuk proses penyuburan pokok dan penjagaan kualiti, pembelian jentera khas serta baja khas yang dilihat untuk penghasilan buah berkualiti.

"Pihak kementerian sudah berbincang dengan kerajaan negeri mengenai peruntukan ini, namun kita berbincang mengenai peruntukan tambahan lain seperti untuk kajian mendalam terhadap harumanis," katanya.

Menurut Ahmad Shabery, pihaknya melihat perkembangan harumanis di Perlis amat positif untuk pasaran luar sama seperti buah durian.

"Kita melihat pemasaran buah-buahan tempatan di luar negara adalah satu peluang baik dan mustahil untuk dibiarkan begitu saja seperti berlaku di China apabila terbaru mereka begitu meminati buah durian dari Malaysia.

"Saya melihat harumanis juga berpotensi untuk diluaskan pasarannya di luar negara, bagaimanapun proses penghasilannya mestilah memenuhi kriteria dan kehendak pasaran untuk pengguna luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Memperkasakan Tanaman Harumanis Perlis 2017 di Dewan Seri Semarak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Arau anjuran bersama Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Pihak Berkuasa Koridor Utara.

Pada bengkel berkenaan, 200 orang terdiri daripada pengusaha dan peladang harumanis tempatan hadir.

Bengkel dua hari bermula semalam itu memfokuskan permasalahan semasa penanaman dan pemasaran harumanis serta membuka peluang untuk menceburi teknologi penanaman harumanis sedia ada dan baharu.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 3:52pm
d