mutakhir

Tarikan Anjung Malaysia

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) hari ini melancarkan Anjung Malaysia sebagai tarikan terbaru di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) iaitu satu ruang khusus memaparkan keunikan tradisi serta kebudayaan tempatan.

Ruang itu yang dulunya dikenali sebagai Anjung Tinjau diberi nafas baru dengan menonjolkan keunikan kebudayaan Malaysia menerusi barangan kraftangan, produk dan makanan tradisional tempatan.

Di sepanjang laluan anjung berkenaan, ia dihiasi paparan grafik menarik memaparkan kegemilangan Kuala Lumpur pada era 60-an, panggung wayang dan replika kedai runcit lama manakala silingnya pula dihiasi wau bulan.

Tarikan baru itu juga membolehkan orang awam dan pelancong mengambil peluang merakam gambar kenangan.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya yakin tarikan terbaru itu dapat menarik kedatangan pelancong sekali gus memperkenalkan budaya tempatan.

Beliau berkata, KLIA kini mengendalikan lebih 60 syarikat penerbangan membabitkan 120 destinasi dengan 70 peratus daripada 53 juta penumpang yang menggunakan KLIA adalah penumpang antarabangsa.

"Justeru, saya berharap tarikan baru ini dapat membantu mempromosikan Malaysia sebagai destinasi wajib kunjung,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Anjung Malaysia, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MAHB Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Komersial MAHB Mohammad Nazli Abd Aziz berkata, Anjung Malaysia akan menjadi model dan contoh kepada pihaknya bagi menaik taraf empat lapangan terbang lain dalam tempoh dua tahun sesuai dengan identiti masing-masing.

"Empat lapangan terbang itu ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2)," katanya.

Buat masa ini, katanya, Anjung Malaysia turut menempatkan gerai dan kiosk menjual makanan tradisional, produk makanan dan kraftangan tempatan yang dipasarkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS).

Mohammad Nazli berkata, pihaknya juga akan menambah jumlah kiosk dan gerai usahawan tempatan di sepanjang laluan ke anjung tinjau pada masa depan.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 4:10pm
d