mutakhir

Bakal berdepan hukuman gantung

Oleh Ibrahim Isa

POLIS merampas dadah bernilai RM500,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Abdul Rahman, Muar, pada 2 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar hasil maklumat dan intipan.

Menurutnya, pihaknya menahan lelaki dipercayai pengedar dadah berusia 23 tahun yang membawa kepada penemuan 17,698 pil ekstasi di dalam rumah berkenaan.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan dia ditahan reman sehingga 26 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati.

"Selain itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(1) akta sama, jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun," katanya pada sidang media di IPD Muar, hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu hasil kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat tepat dan pantas serta kecekapan anggota yang menjalankan tugas.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 5:13pm
d