mutakhir

Muak kes dadah !

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

POLIS menahan empat lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah termasuk puluhan ribu pil kuda dianggarkan bernilai RM207,062.70 dalam serbuan di Taman Sultan Abdul Halim dan Taman Gunung Perak, di Alor Setar, Kedah.

Ketua Polis Kedah Datuk Asri Yusoff berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu menahan semua suspek yang menaiki kereta Toyota Camry di hadapan sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim pada 5 petang semalam.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah lagi kereta milik suspek menemui peket plastik berisi dadah heroin seberat 461.75 gram.

"Hasil soal siasat, salah seorang suspek membawa pasukan polis ke sebuah rumah sewa di Taman Gunung Perak. Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 80 paket plastik warna biru mengandungi pil WY (pil kuda) sebanyak 16,000 biji selain lima paket syabu anggaran berat 507.41 gram.

"Berikutan itu semua suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil ujian saringan air kencing mereka didapati positif dadah,” katanya.

Mengulas lanjut Asri berkata, siasatan pihaknya mendapati tiga suspek adalah buruh manakala seorang lagi adalah peniaga ikan di Kuala Kedah.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 5:41pm
d