mutakhir

Ambulans sumbangan rakyat Malaysia dibom

Oleh Suraya Roslan

DUA rakyat Syria maut selepas enam ambulans termasuk sebuah yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia menerusi Konvoi Ambulans Perpaduan ke Syria (Unity Convoy) musnah dalam serangan udara di Idlib, Syria, Jumaat lalu.

Dalam kejadian 7.30 petang waktu tempatan itu, serangan mensasarkan kemudahan perubatan menyebabkan seorang pegawai perubatan dan orang awam terkorban selain 10 lagi petugas perubatan cedera.

Koordinator Serantau Unity Convoy, Muaz Ruslan berkata, ambulans Malaysia dinamakan B9 itu antara 100 ambulans dihantar ke Syria melalui konvoi merentasi lima negara bermula dari United Kingdom (UK) pada April lalu.

“Ambulans B9 lengkap dengan bendera Malaysia berfungsi sepenuhnya pernah dirakamkan di British Broadcast Company (BBC) apabila menyelamatkan mangsa peperangan serangan bom di Idlib beberapa jam selepas memasuki Syria.

“B9 antara tujuh ambulans tajaan rakyat Malaysia melalui pertubuhan Malaysian Life Line For Syria (MLLFS), Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ) dan Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM),” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Muaz berkata, ambulans yang dibawa ke Syria digunakan khususnya di wilayah Idlib menyelamatkan ratusan nyawa di kawasan yang dikenal pasti sebagai pusat bencana kemanusiaan terbaru selepas Aleppo.

Dianggarkan 700,000 pelarian masih tinggal di wilayah itu.

“Pelarian di wilayah itu bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk meneruskan kehidupan.

“Kami mengutuk serangan yang kejam dan menuntut setiap pihak berhenti mensasarkan orang awam dan kemudahan perubatan,” katanya.

Konvoi ambulans perpaduan itu adalah inisiatif gabungan badan amal seluruh dunia yang diterajui badan kemanusiaan dari UK untuk membantu pelarian Syria yang terkesan dengan konflik perang saudara sejak Mac 2011.

Sementara itu, dalam usaha untuk memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas oleh konflik berdarah itu, MLLFS bersama Muslim Volunteers Malaysia dan BONYAN (Turki) melancarkan kempen pengutipan dana sebagai persiapan musim sejuk di Syria dengan sasaran RM1 juta untuk menyediakan keperluan asas seperti kit musim sejuk dan bantuan perubatan.

Disiarkan pada: November 21, 2017 @ 6:52pm
d