mutakhir

Sehari serasi muncul juara robotik antarabangsa

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: Perkenalan murid tahun satu Nur Elyshia Wong Muhammad Elyas Wong dan D Dmisha cuma sehari namun keserasian yang terjalin antara mereka amat unik hingga menjuarai World of Robotics National Championship (WRC) 2017 kategori junior.

Guru intensif robotik Norliyana Natasya Ramli berkata, Nur Elyshia yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Convent (1) Bukit Nanas dan Dmisha dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Simpang Lima baru saja dipertemukan sempena kejohanan itu, Ahad lalu sebelum mereka berdua bergandingan mara ke pusingan akhir, kelmarin.

“Walaupun baru pertama kali berjumpa, mereka tiada masalah dan mampu berkomunikasi dengan baik sesama mereka.

“Tak sangka, keserasian menjadi senjata ampuh menewaskan peserta lain,” katanya selepas kanak-kanak itu diumumkan pemenang kategori junior di Asia Pasific University of Technology & Innovation (APU) di sini, kelmarin.

Kanak-kanak berkenaan antara 575 murid sekolah rendah dan pelajar menengah sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Kedah yang menyertai pertandingan itu bermula Sabtu lalu.

Menurutnya, kedua-dua murid berkenaan mengikuti kelas intensif robotik setiap hujung minggu kendalian World of Robotics Sdn Bhd, sebuah syarikat yang komited melatih dan mendidik pelajar sekolah rendah dan menengah termasuk institusi swasta serta tadika.

“Kami jangka kemenangan amat tipis kerana saingan hebat. Biarpun tiga kali sepakan robot gagal mengenai sasaran namun mereka tidak patah semangat.

“Akhirnya, dengan menukar strategi posisi sepakan, lego robot yang dipanggil mini golf itu mampu melakukan sepakan cantik apabila bola golf masuk dalam lubang sasaran,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 8:48am
d