mutakhir

Remaja durjana

Oleh Shamsul Munir Safini

Bukit Mertajam: Baru berusia 17 tahun, seorang remaja lelaki mengaku mencuri tiga motosikal serta beberapa lagi yang kini sedang dikesan pihak berkuasa susulan penahanannya tengah malam kelmarin.

Remaja itu ditahan jam 12.30 tengah malam ketika menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran depan dan belakang di hadapan kedai serbaneka 24 jam di Prai, di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, suspek pada mulanya dilihat mencurigakan termasuk menunggang motosikal tiada nombor pendaftaran.

Beliau berkata, susulan itu suspek ditahan sebelum pemeriksaan ke atas motosikal mendapati ia dipercayai dicuri selain menjumpai peralatan mencuri motosikal seperti batang besi berbentuk T dan kunci ‘alen’ yang diasah tajam.

“Hasil soal siasat ke atasnya, polis kemudian menyerbu dua lokasi berasingan di Kepala Batas sebelum menjumpai dua lagi motosikal yang salah satunya dilaporkan hilang di Kulim, Kedah.

“Serbuan pertama dilakukan jam 3.30 pagi tadi (semalam) di loji rawatan kumbahan di Taman Rupawan, Kepala Batas sebelum menjumpai sebuah motosikal Honda EX5 berwarna biru yang tiada nombor pendaftraan dan hasil semakan mendapati ia dilaporkan hilang di Kulim.

“Manakala, serbuan kedua dilakukan di Permatang Buloh, Kepala Batas pada jam 4.30 pagi sebelum menjumpai rangka motosikal yang nombor enjin dan rangkanya sudah dicanai,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, suspek turut mengaku terbabit dalam beberapa kejadian curi motosikal di daerah Seberang Perai Tengah dan Kulim.

Beliau berkata, susulan penahanan suspek berkenaan, polis percaya berjaya menyelesaikan empat kes kecurian motosikal dan yakin dapat menyelesaikan beberapa lagi kes lain dan kes disiasat mengikut Seksyen, 379A Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 9:20am
d