mutakhir

Laungan 'terhenti'

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Rutin harian seorang guru mengayuh basikal ke Madrasah Mahmudiah, Kampung Gaung, Pendek di sini untuk mengalunkan azan Subuh dan mengajak jemaah ke surau untuk berjemaah.

Amalan itu dilakukan setiap hari sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sering sehinggalah ia terhenti, semalam, apabila dia terbabit dalam kemalangan dengan kereta dan meninggal dunia.

Kejadian jam 5.40 pagi itu berlaku ketika Roslan Ariffin, 58, dalam perjalanan ke madrasah terbabit dari rumahnya yang terletak kira-kira 70 meter.

Isterinya, Jamilah Abu Bakar, 59, yang masih terkejut dengan kejadian itu berkata, dia seperti bermimpi apabila dimaklumkan jiran bahawa suaminya dirempuh kereta.

"Menjadi kebiasaan arwah untuk ke madrasah mengayuh basikal ataupun menunggang motosikal. Dia akan keluar jam 5.30 pagi dan jalankan tugasnya mengalunkan azan.

"Arwah juga menjadi imam di madrasah itu. Apabila jiran beritahu dia kemalangan, saya rasa seperti bermimpi kerana sebelum itu dia keluar seperti biasa sahaja.

"Lokasi dia dirempuh itu pun sudah semakin hampir dengan madrasah. Saya reda kerana ini takdir Allah," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, semalam.

Jamilah yang juga pesara jururawat berkata, sejak kebelakangan ini arwah suaminya kerap bangun seawal jam 3 pagi untuk bersolat dan bersiap-siap ke madrasah.

Menurutnya, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Gaung, Pendek, di sini, pada petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun dari arah Pendek menghala ke Wakaf Che Yeh, dipercayai hilang kawalan dan merempuh mangsa.

"Akibatnya mangsa cedera di kepala, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke HRPZ II untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta tidak cedera," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 9:22am
d