mutakhir

Lakonan tak jadi

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Tindakan seorang wanita warga Indonesia yang berbaju kurung dan berhijab menyamar seperti orang tempatan mengemis serta menjual kerepek di kaki lima terbongkar selepas ditahan dalam Op Bersepadu Menyelamat Pengemis di sekitar pekan Kuala Pilah, Jumaat lalu.

Dalam operasi bermula jam 5 petang itu, wanita berusia lingkungan 40-an itu antara enam individu yang ditahan membabitkan pelbagai kesalahan antaranya melakukan pungutan tanpa kebenaran jabatan agama dan berniaga tanpa permit.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Pilah, Mohamad Affendy Mat Sani berkata, operasi bersepadu JKM daerah itu bersama Pejabat Agama Islam Daerah, Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) dan polis dilakukan bagi membanteras kegiatan mengemis yang mengganggu orang ramai terutama di premis perniagaan.

“Tindakan wanita warga asing itu mengemis dan berniaga di kaki lima tanpa lesen jelas menyalahi undang-undang. JKM memberi amaran kepada wanita itu dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut bagi mengesan sindiket yang dipercayai menghantar wanita terbabit di kawasan ini.

“Selain wanita itu, kita turut menahan lima lelaki tempatan kerana didapati mengutip derma tanpa permit. Kita menyerahkan mereka kepada Pejabat Agama Islam Daerah untuk tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, operasi berlangsung lima jam itu turut menemui tiga remaja berusia 12 hingga 14 tahun yang berpelesaran tanpa pengawasan penjaga di sekitar pekan Kuala Pilah dan JKM memberi amaran kepada mereka.

Beliau berkata, operasi berkenaan diadakan di kawasan khas yang dikenal pasti hasil risikan dan aduan yang diterima JKM.

Menurutnya, operasi kali kedua itu bertujuan membanteras kegiatan mengemis yang menimbulkan rasa kurang selesa kepada masyarakat setempat.

“JKM sentiasa mengutamakan keselesaan masyarakat dan berharap sekiranya masih terdapat kegiatan sama berulang, mohon segera laporkan kepada JKM supaya tindakan susulan dapat diambil,” katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 9:33am
d