mutakhir

Cuba naik trak

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Polis menafikan berlaku kejadian cubaan culik pelajar sekolah di sebuah kem tentera di Batu 5 di sini, seperti yang tular di laman sosial Facebook, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad berkata, ia bukan kes culik sebaliknya seorang lelaki kurang siuman berusia 20-an cuba menaiki trak Sekolah Angkatan Tentera yang membawa pelajar.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan mengenai tindakan lelaki itu lalu ke lokasi menahan dan membawanya ke Balai Polis Port Dickson untuk siasatan.

“Lelaki terbabit kurang siuman dan cuba menaiki feri sekolah (trak) itu saja. Tiada kes culik cuma salah faham,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Zainudin turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih kerana boleh menimbulkan ketakutan kepada masyarakat.

Katanya, tindakan itu boleh didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah jenayah atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan berita palsu.

Beberapa gambar yang didakwa kejadian cubaan culik pelajar sekolah itu menjadi viral di Facebook walaupun individu yang memuat naik gambar itu menulis kesahihan kejadian itu belum dipastikan.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 9:36am
d