mutakhir

Banteras dana keganasan

Oleh Idris Musa

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap organisasi bukan berasaskan keuntungan (NPO) dan pemimpinnya yang menyalahgunakan dana bagi tujuan membiayai aktiviti keganasan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, NPO yang menyalurkan dana bagi tujuan itu termasuk individu terbabit dengan aktiviti berkenaan akan diambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini belum ada sebarang NPO yang dikenal pasti melakukan kesalahan itu di Malaysia.

"Kita amat khuatir jika organisasi melaksanakan aktiviti yang mempunyai objektif baik tetapi disalahgunakan untuk melakukan promosi terhadap aktiviti keganasan. Begitu juga dari segi penyaluran dana.

"Mungkin dana diperoleh oleh organisasi NPO ini sepatutnya digunakan untuk aktiviti baik. Tetapi jika ada pemimpinnya menyalahgunakan organisasi itu dan dana disalurkan, maka tindakan akan dilakukan oleh pihak berkuasa.

"Atas rasa kekhuatiran itu, maka kita bersiap siaga untuk menentukan supaya ini tidak terjadi di negara kita," katanya pada Sidang Kemuncak Menangani Pembiayaan Keganasan kali ke-3 di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama Menteri Koordinasi Politik, Perundangan dan Hal Ehwal Keselamatan Indonesia Jeneral Wiranto dan Menteri Keadilan Australia Michael Keenan.

Ahmad Zahid berkata, pihak berkuasa mempunyai sistem tertentu untuk menjejaki individu dan penyaluran dana bagi membiayai aktiviti keganasan sama ada ia disalurkan secara formal atau tidak.

"(Dana) yang direkodkan itu mudah kerana kita mempunyai jaringan perbankan antara Australia, Indonesia dan negara lain. Untuk yang tidak menggunakan saluran secara formal, kita mempunyai sistem dan mekanisme untuk menjejaki aktiviti mereka," katanya.

Beliau berkata, kadar kejayaan bagi mereka yang menjalani program pemulihan daripada aktiviti keganasan sehingga kini pada tahap 97.5 peratus.

Katanya, Polis Diraja Malaysia sedia berkongsi maklumat risikan dengan pihak keselamatan Thailand, Polis ASEAN (ASEANAPOL) dan Polis Antarabangsa (INTERPOL) untuk mengesan tahanan Uighur yang meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Sadao, Thailand, awal pagi Isnin lalu.

"Jika mereka ada di sini (Malaysia), kita akan tahan mereka. Kita akan bekerjasama dengan ASEANAPOL dan INTERPOL," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 2:56pm
d