mutakhir

Setuju bebas nelayan yang ditahan

Oleh Shamran Sarahan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

MALAYSIA dan Indonesia mencapai kata sepakat untuk membebaskan nelayan kedua-dua negara yang ditahan atas kesalahan pencerobohan ketika menangkap ikan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kata sepakat itu dicapai bersama Presiden Indonesia Joko Widodo kerana menganggap nelayan yang ditahan adalah golongan miskin yang perlu mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Menurutnya, golongan nelayan melakukan pekerjaan itu untuk menyara keluarga dan penahanan mereka tidak wajar.

“Malaysia dan Indonesia setuju untuk bebaskan nelayan bersama bot mereka secepat mungkin.

“Ini bagi membolehkan mereka untuk mencari rezeki,” katanya dalam sidang media bersama Joko selepas menghadiri Rundingan Tahunan ke-12 Malaysia-Indonesia di Kuching, hari ini.

Rundingan yang berlangsung itu juga bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Dalam majlis sama beberapa perkara dipersetujui merangkumi isu pendidikan, pertahanan, kelapa sawit, sempadan, ekonomi termasuk pendirian kedua-dua negara dalam isu penindasan etnik Rohingya.

Terdahulu, Najib dan Joko menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang pengajian tinggi Islam antara Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dengan Menteri Luar Negara Indonesia Retno LP Marsudi.

Joko atau lebih dikenali dengan panggilan Jokowi tiba pagi ini dalam lawatan kerja seharinya ke Kuching.

Beliau dijangka bertemu rakyat Indonesia di Stadium Perpaduan di Petra Jaya, petang ini.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 3:25pm
d