mutakhir

'Saya sangat nak berlaku adil'

Oleh Muhamaad Razis Ismail

TINDAKAN mengarahkan Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) keluar ketika persidangan Sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan berlangsung, hari ini untuk berlaku adil kepada semua anggota dewan .

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya'kub berkata, sebelum ini pihaknyamemberikan peluang kepada ahli dewan termasuk daripada pembangkang untuk membahaskan Bajet 2018.

Beliau berkata, Nozula tidak mematuhi peraturan dewan selepas tidak mendapat kebenaran untuk mencelah.

"Saya sangat nak berlaku adil dalam dewan, sebab itu semalam saya beri peluang sepenuhnya kepada 10 ahli dewan berucap termasuk empat daripada pembangkang.

"Saya sudah masuk kepada agenda lain (penggulungan), maka saya tak akan undur lagi dah," katanya ketika ditemui di luar dewan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, beliau perlu mempertahankan kredibiliti sebagai Speaker yang sudah menyusun aturan dewan bagi melancarkan perjalanan persidangan DUN.

"Ini kredibiliti Speaker dan dewan itu sendiri," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan Nozula diarahkan keluar selepas tidak mematuhi arahan Abdullah supaya tidak membahaskan Bajet Kelantan 2018 dalam sesi penggulungan.

Susulan itu, empat ADUN Barisan Nasional (BN) yang mengikuti sesi penggulungan itu iaitu Mat Razi Mat Ail (Pengkalan Kubor), Datuk Ramzi Ab Rahman (Dabong), Ab Aziz Yusoff (Galas) dan Zulkifle Ali (Selising) turut keluar sebagai membantah keputusan dewan itu dan tidak menghadiri sesi penggulungan Bajet 2018.

Berita berkaitan:

Air mata Nozula

UMNO Kelantan hantar surat bantahan

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 7:18pm
d