mutakhir

Ceroboh hutan simpan di Kedah

Oleh Adie Suri Zulkefli

JABATAN Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) membongkar kegiatan sindiket menceroboh hutan simpan di Kedah sebelum menjual kawasan tertentu yang diusahakan dengan kelapa pada harga murah.

Aktiviti pencerobohan itu dikesan melalui imej satelit diperoleh daripada sistem kawalan jauh milik JPNK yang memaparkan kawasan seluas kira-kira 30 hektar di Hutan Simpan Gunung Bongsu, di Kulim diteroka iaitu kes ketiga dikesan JPNK di Kedah.

Pegawai Pejabat Perhutanan Daerah Kedah Selatan, Mohamad Faisal Nasaruddin berkata, sindiket terbabit bukan sahaja mencuri balak daripada hutan simpan yang diceroboh, malah mengaut untung berganda apabila mengusahakan semula tanah itu dengan tanaman kelapa sawit sebelum tapaknya dijual pada harga lelong antara RM10,000 hingga RM30,000 setiap satu.

Katanya, justeru pihaknya menasihati orang awam supaya tidak terpedaya dengan tawaran berkenaan kerana ia menyalahi undang-undang.

"JPNK malah ada kuasa untuk memusnahkan tanaman di kawasan yang diceroboh serta menyita tanah terbabit.

"Kita mengesan aktiviti sindiket melalui dua kes sebelum ini iaitu di Bukit Perangin di Jitra and Bukit Perak di Pendang yang membabitkan masing-masing kawasan seluas 20 hektar dan 36 hektar kawasan hutan simpan," katanya ketika ditemui.

Terdahulu, hari ini JPNK memusnahkan kira-kira 4,000 pokok kelapa sawit di hutan simpan yang diceroboh di Kompartmen 25 dan 26 di Gunung Bongsu melalui operasi bersepadu Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang membabitkan 13 agensi.

Mohamad Faisal berkata, selain 4,000 pokok, pihaknya turut memusnahkan enam pondok dibina untuk kegunaan pekerja di ladang yang diusahakan di tapak haram itu.

"Kita percaya sindiket ini dalam proses menanam lebih banyak pokok kelapa sawit di kawasan yang diserbu ini, sebelum menjualnya kepada pembeli...kita juga yakin mereka turut mengaut untuk dengan menjual balak yang ditebang di kawasan ini kira-kira setahun lalu dengan harga pasaran mencecah RM100,000.

"Kita sedang mengesan individu di sebalik kegiatan pencerobohan hutan simpan ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 81 (g) Enakmen Akta Perhutanan Negara 1984 (Pemakaian) 1985, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, JPNK akan meneruskan usaha penanaman semula di kawasan yang terjejas akibat penerokaan haram di Hutan Simpan Gunung Bongsu itu dengan anggaran kos ditanggung kira-kira RM100,000.

Disiarkan pada: November 22, 2017 @ 11:21pm
d