mutakhir

Sapu bersih laga foto

Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) muncul juara keseluruhan dalam Pertandingan Design Fest 2017 peringkat kebangsaan, kelmarin.

PSIS berjaya merangkul enam pingat emas daripada 13 kategori yang dipertandingkan dalam pertandingan edisi keenam itu yang diadakan di Dewan Serbaguna PSIS.

PSIS meraih emas bagi kategori laga reka design two, laga warisan, laga foto, laga layar, laga ilusi dan laga arca.

Kejayaan itu lebih manis apabila PSIS menyapu bersih acara laga foto apabila pasukan itu meraih pingat emas, perak dan gangsa.

PSIS memperoleh tiga pingat perak iaitu bagi acara laga ruang, laga foto dan laga seni sementara memungut lima pingat gangsa bagi acara laga reka ‘design three’, laga panjut, laga foto, laga layar dan laga ilusi.

Lima lagi politeknik yang menyertai pertandingan itu ialah Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Politeknik Sultan Ahmad Shah, Politeknik Port Dickson serta Politeknik Merlimau, Melaka.

Selain politeknik, pertandingan itu turut disertai tujuh Kolej Komuniti (KK) iaitu KK Bandar Darul Aman, Kepala Batas, Kuala Terengganu, Arau, Jasin, Tapah dan Sabak Bernam.

Pengarah PSIS Norehan Md Shariff berkata, kejayaan itu adalah hadiah paling berharga kepada semua pensyarah dan penuntut yang sangat komited untuk meraih kemenangan dalam acara yang dipertandingkan.

“Tahniah kepada semua terutama pensyarah yang bersungguh-sungguh dan penuh komitmen, malah mereka tak tidur malam untuk memastikan yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) Dr Mohammad Naim Yaakub berkata, program itu diadakan setiap tahun dalam kalangan penuntut program senibina di enam politeknik dan juga KK.

“Setiap tahun ada tema tertentu dan tahun ini tema dipilih ialah Warkah Jejak Inspirasi Warisan Arkitek (Jiwa) Jawa yang bertemakan budaya, arkitek, makanan dan pakaian dari etnik Jawa,” katanya.

Beliau berkata, menerusi program seumpama itu, bakat penuntut jurusan senibina dapat dilihat dalam menghasilkan pelbagai produk ataupun idea bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam menghasilkan idea kreatif.

“Ini juga secara tak langsung mampu meningkatkan kebolehan mereka sehingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 6:47am
d