mutakhir

Terapi positif autistik

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Kira-kira 500 kanak-kanak autisme di sekitar Lembah Klang menghadiri pelbagai acara sukaneka dan perbarisan menerusi program Autismlympic Bank Rakyat 2017 di sini, semalam.

Program julung kali diadakan Bank Rakyat itu kemuncak program autisme dianjurkan sepanjang tahun ini dengan pembabitan guru, ibu bapa serta sukarelawan.

Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat Nizam Sani berkata, inisiatif itu diadakan bagi menyatukan lebih 32 pusat autisme di sekitar Lembah Klang selain memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) bank berkenaan.

Menurutnya, Bank Rakyat menganjurkan lebih 60 program untuk kanak-kanak istimewa berkenaan di lokasi terpilih di seluruh negara bermula Disember tahun lalu.

“Acara sukaneka ini memberi peluang kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menyerlahkan bakat mereka dan pada masa sama ia dapat membuka mata masyarakat sekeliling mengenai keupayaan luar biasa golongan terbabit.

“Konsep permainan dipertandingkan membabitkan sensori dan ketahanan fizikal mereka dan ia terapi yang dapat merangsang pergerakan serta emosi kanak-kanak autistik,” katanya.

Program dimeriahkan dengan kehadiran atlet paralimpik negara, Ziyad Zolkefli yang mengetuai kontinjen perbarisan serta membawa bendera Malaysia, sekali gus mencetus semangat dan inspirasi kepada kanak-kanak itu.

Antara pusat autisme yang menyertai program itu Permata Kurnia, Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), Persatuan Kebangsaan Autisme Kebangsaan (NASOM), Persatuan Autisme Muslim Malaysia serta Sekolah Pendidikan Khas di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, guru My Kids Care Centre di Ampang, Sharifah Mazlan, 47, berkata, program sedemikian kaedah terbaik untuk kanak-kanak autisme bersosial dan mengenal dunia luar.

“Ia sangat bagus, pertama kali kami dijemput untuk program ini dan saya rasa ia cara terbaik untuk mereka berinteraksi dengan keadaan sekeliling,” katanya.

“Saya berpendapat ia dapat mengurangkan rasa takut dalam kanak-kanak autisme dengan masyarakat yang selama ini kurang memahami diri mereka,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 7:06am
d