mutakhir

Atasi masalah murid tercicir

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Purata peratusan keciciran pelajar sekolah menengah di Semenanjung bagi 2014 hingga 2016 antara 1.09 hingga 3.59 peratus manakala di Sabah, Sarawak serta Labuan pula antara 0.41 hingga 1.18 peratus.

Bagi sekolah rendah pula, peratusan keciciran murid bagi tempoh sama antara 0.26 hingga 0.74 peratus (Semenanjung) dan 0.05 hingga 0.10 peratus di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata, kementeriannya sudah mewujudkan inisiatif khusus dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu Peningkatan Akses daripada peringkat prasekolah hingga menengah atas bagi menangani masalah keciciran di sekolah.

Beliau berkata, satu modul intenvensi juga disediakan sebagai panduan kepada guru untuk menjalankan program intervensi bagi murid berisiko cicir supaya mereka kekal bersekolah hingga tamat tingkatan lima.

“Selain itu, satu garis panduan serta modul intervensi juga sedang dirintis di tiga negeri iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Kedah sebelum digunakan di seluruh negara pada tahun depan,” katanya menjawab soalan Dr Azman Ismail (PKR- Kuala Kedah) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, kementeriannya juga menyediakan pelbagai bantuan seperti pemberian buku teks, Rancangan Makanan Tambahan, program Susu 1Malaysia dan pembinaan asrama sekolah supaya semua murid daripada keluarga miskin dapat kekal bersekolah.

“Antara bantuan lain yang turut diberikan adalah bantuan yuran khas sekolah, bantuan bayaran tambahan persekolahan, bantuan awal persekolahan dan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, pakaian seragam badan beruniform, makanan asrama dan kenderaan asrama,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 7:13am
d