mutakhir

Babi hutan masuk kawasan kampung

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: “Lebih 10 ayam peliharaan saya dibaham babi hutan dan diharap pihak berkuasa dapat menanganinya,” kata penduduk, Rizal Yusof, 40, dari Kampung Seberang Bukit Tumbuh di sini, semalam.

Menurutnya, setiap malam sekumpulan haiwan liar itu berkeliaran di kawasan rumahnya untuk mencari makanan.

“Kalau saya terlupa tutup pintu reban, pasti ayam yang diternak dibaham haiwan liar itu. Saya tinggal di kampung ini sejak kecil tetapi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini didapati haiwan liar itu semakin berani masuk ke kawasan kampung.

“Habitat haiwan ini dipercayai diteroka untuk dijadikan kawasan penempatan menyebabkannya keluar ke kawasan berhampiran rumah penduduk,” katanya.

Menurutnya, dia sudah tawar hati menternak ayam kerana masalah itu sehingga sekarang masih tidak dapat diselesaikan dan berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera.

Katanya, dia dan beberapa penduduk kampung pernah mengambil tindakan sendiri termasuk meletakkan racun dalam sisa makanan tetapi tetap gagal menyelesaikan masalah itu.

“Dianggarkan lebih 30 babi hutan masuk ke kawasan kampung kami dan ia jinak seperti kambing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Rahmah Ilias berkata, pihaknya mempunyai jumlah perangkap yang terhad dan tidak mampu menampung keperluan semasa.

“Bagaimanapun, kami akan cuba sedaya mungkin untuk memenuhi permintaan penduduk dalam menyelesaikan masalah itu secepat mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 8:19am
d