mutakhir

Tak tertanggung tukar perabot baru

Oleh HM Digital

Kuala Lumpur: “Setiap kali hujan lebat, rumah kami akan dinaiki air sekali gus memusnahkan perabot dan barangan elektrik sehingga terpaksa menanggung kerugian.”

Begitu kata ibu tunggal Nur Afifah Awang, 40, antara 65 mangsa banjir kilat di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul, di sini, yang terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Madrasah Ikhlasiah sejak jam 8 malam kelmarin.

Nur Afifah berkata, dia yang tinggal di kawasan berkenaan sejak 15 tahun lalu sudah lali dengan banjir kilat.

“Namun, kawasan ini yang sedang dibangunkan sering dilanda banjir kilat sejak kebelakangan ini. Akibatnya, penduduk yang menjadi mangsa apabila terpaksa menanggung kerugian akibat kemusnahan harta benda,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Madrasah Ikhlasiah Syed Mashor Syed Mustapha berkata, kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan terbabit dipercayai berpunca akibat longkang yang ditutup pemaju.

“Sudah banyak kali aduan dibuat kepada pemaju, namun tidak diendahkan akibatnya kami yang menjadi mangsa,” katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 8:24am
d