mutakhir

Penghargaan buat kakitangan Johor

Oleh Ibrahim Isa

KERAJAAN negeri Johor mengumumkan beberapa bantuan secara 'one off' kepada pelbagai kakitangannya dengan bayaran antara RM500 hingga RM1,500.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri menyanjung perkhidmatan diberikan kakitangannya dan bantuan khas kewangan bermula setengah bulan gaji atau minimum RM500 hingga RM1,500 akan diberikan.

Katanya, semua bantuan kewangan itu diberikan kepada kakitangan awam negeri dan Persekutuan yang dibiayai kerajaan Johor.

Menurutnya, semua bayaran akan dibuat Januari ini merangkumi penggerak masjid dan penggerak Program Sakinah yang akan menerima RM500.

Katanya, bagi penjawat awam yang akan bersara bermula 2018, mereka akan diberikan Bantuan Khas Persaraan sebanyak RM1,000.

"Selain itu, bagi menghargai jasa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atas sumbangan mereka selama ini, kerajaan akan menaikkan kadar pencen pesara ADUN sebanyak 60 peratus daripada gaji berdasarkan tempoh perkhidmatan dan ia bersamaan kadar pencen Ahli Parlimen.

"Tidak dilupakan semua penjawat awam Johor di mana Bantuan Khas Kewangan akan diberikan kepada semua penjawat awam Johor dan Persekutuan yang gajinya dibayar kerajaan negeri.

"Mereka akan menerima setengah bulan gaji dengan kadar minimum RM1,500. Bagi mereka yang bergaji di bawah RM3,000 sebulan akan menerima bantuan lebih daripada setengah bulan," katanya ketika membentangkan bajet negeri pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri Johor ke-13 di Kota Iskandar, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Bantuan Khas Kewangan ini akan diberikan kepada semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor, ADUN, Ahli Jumaah Diraja Johor, Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Johor, Pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan Guru Tadika Agama Islam Johor.

Menurutnya, selain itu, semua pesara penjawat awam Johor akan menerima Bantuan Khas sebanyak RM750 seorang iaitu bayaran oleh Kerajaan Persekutuan seperti diumumkan pada Bajet Persekutuan 2018.

Katanya, semua bantuan khas itu akan diberikan pada Januari 2018 sebagai lambang terima kasih kerajaan kepada semua kakitangan yang berkhidmat selama ini.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 2:04pm
d