mutakhir

Padah kelentong `main wayang' !

Oleh Murni Wan Omar

TUKANG cuci warga Indonesia, Kurisiya, 36, dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, Selangor, atas kesalahan membuat laporan polis palsu berhubung penculikan anaknya.

Majistret Iriane Isabelo menjatuhkan hukuman itu terhadap Kurisiya yang mengaku bersalah atas perbuatan itu.

Jika gagal membayar, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua bulan.

Kurisiya didakwa memberi maklumat secara bertulis palsu kepada seorang pegawai polis di Balai Polis Selayang pada jam 6.20 petang, 7 November lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya T Ashvinii manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Firdaus Mohd Razi.

Terdahulu, Ashvinii berhujah supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dan memberi pengajaran kepada tertuduh.

€œKesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah serius. Kita bimbang ia akan mempengaruhi orang awam untuk melakukan perbuatan yang sama.

Sementara itu Mohd Firdaus dalam rayuan mewakili anak guamnya berkata perkara itu berlaku kerana ada perselisihan faham antara keluarga.

Menurutnya tertuduh ditahan reman selama 16 hari dan ia sudah cukup memberi pengajaran.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa membuat laporan polis bahawa anaknya hilang dilarika seseorang ketika membawanya ke kedai runcit di Desa Jaya, Kepong.

Bagaimanapun hasil siasatan mendapati laporan polis itu bercanggah kerana anak itu sudah diserahkan kepada bekas suaminya yang berada di Batam, Indonesia.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 2:45pm
d