mutakhir

Perginya anak mithali

Oleh Zairee Mohd Yasak

PEMUDA berusia 22 tahun maut ketika dalam perjalanan untuk membeli kasut badminton sebagai hadiah kepada bapanya selepas motosikal ditunggang terbabas di Jalan Bukit Katil, Bukit Katil, Melaka Tengah pada 7.30 malam, semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Mohd Azrul Fazle Mohd Rashidi menunggang motosikal Kawasaki Ninja 250 berkonvoi bersama tiga lagi rakan dari Bukit Katil menuju ke sebuah kedai menjual peralatan sukan di Bukit Beruang.

Rakan mangsa yang juga saksi kemalangan, Muhamad Nurazuan Shafiq Baharudin, 18, berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, arwah cuba memotong sebuah kereta di lorong kanan.

Katanya, namun tindakan arwah yang membrek secara mengejut menyebabkan motosikalnya hilang kawalan lalu terbalik dan terseret sejauh 10 meter ke tengah pembahagi jalan.

"Kepala arwah dipercayai terhentak pada batang pokok hiasan. Kami terus membantu arwah, namun ketika itu dia hanya mampu mengelipkan mata beberapa kali dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

"Sejak beberapa hari lalu, arwah kerap ajak kami bertiga untuk teman dia ke kedai terbabit, namun hari ini (semalam) baru berkesempatan. Sebelum ini arwah beberapa kali mengajak bapanya bermain badminton.

"Tetapi bapanya beri alasan tidak ada kasut, berikutan itu arwah beriya-iya mahu belikan kasut sebagai hadiah untuk bapanya," katanya.

Jenazah arwah dituntut ahli keluarga di Jabatan Forensik Hospital Melaka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Kling selepas solat Zuhur.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, mayat mangsa yang parah di kepala dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 5:11pm
d