mutakhir

Menjadikan Johor negeri paling membangun

Oleh Ibrahim Isa

KERAJAAN Johor melancarkan misi ‘Dekad Baharu Johor' untuk menjadikan negeri paling membangun dan sejahtera di negara ini dalam tempoh 10 tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Johor perlukan dorongan baru yang berupaya menterjemahkan falsafah pembangunannya iaitu Gagasan Johor Berkemajuan dengan lebih berkesan.

Katanya, Johor perlukan lonjakan radikal dan transformatif yang akan memberikan wajah baru kepada iklim ekonomi dan landskap kesejahteraan rakyat.

"Melalui misi ini dalam tempoh 10 tahun akan bermula era baru dan menyaksikan dekad penuh pertumbuhan ekonomi yang agresif dan peningkatan kesejahteraan rakyat secara transformatif.

"Hala tuju pembangunan itu memperlihatkan pembangunan serta perubahan struktur ekonomi yang drastik bagi negeri ini.

"Ekonomi Johor mesti dipacu idea besar, kreativiti, teknologi dan inovasi. Kita akan galakkan pertumbuhan ekonomi digital, kreatif dan hijau secara besar-besaran selain memberi lonjakan baru kepada sektor ekonomi tradisional," katanya ketika membentangkan bajet negeri pada Mesyuarat Ketiga Penggal Persidangan Kelima Dewan Negeri Johor ke-13, di Kota Iskandar, Johor, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Dekad Baharu Johor akan menyaksikan transformasi sistem, budaya kerja dan norma kehidupan kepada kerajaan dan masyarakat digital, sekali gus menjadikan Johor negeri pintar.

Katanya, walaupun ia satu impian besar dan akan dipandang prejudis dan pesimis sesetengah pihak, ia satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

"Pada saya dan seluruh jentera kerajaan negeri, adalah tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab jika sebagai pemimpin tidak mengambil pendirian patriotik untuk membentangkan satu lembaran baru demi masa depan Johor dan penduduknya.

"Dengan kepimpinan berdasarkan prestasi, Johor menjadi negeri paling berdaya saing di Malaysia dan tiada sebab mengapa kita tidak boleh diberikan mandat sekali lagi untuk terus memimpin kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)," katanya.

Disiarkan pada: November 23, 2017 @ 5:37pm
d