mutakhir

Mantapkan koordinasi

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Sitiawan: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) Republik Indonesia terus bekerjasama dalam membanteras aktiviti penyeludupan merentasi sempadan.

Ia diteruskan dengan persetujuan jaringan kerjasama berkongsi anggota dan aset dua negara melalui persefahaman yang membantu mengekang aktiviti penyeludupan di perairan Selat Melaka.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, persetujuan itu dibuat selepas menyaksikan hasil rundingan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia Joko Widodo ketika Majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-12.

Menurutnya, persefahaman itu dilihat mampu memantapkan koordinasi selain melumpuhkan aktiviti jenayah seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia melalui perairan negara.

“Biasanya kita bekerjasama membuat rondaan bersama dengan bot masing-masing namun kali ini kita bersetuju membuat pertukaran dengan pegawai kastam kita akan berada di kapal Indonesia dan begitu juga sebaliknya.

“Ia satu yang belum pernah dibuat dan memberi kelebihan sebagai contoh pegawai kita dapat membuat pengesahan jika ada membabitkan barangan pengeksportan dari sini ke Indonesia, mungkin pegawai kita mempunyai maklumat lebih begitu juga dengan mereka,” katanya pada Majlis Penutupan Operasi Patroli Laut Terkoordinasi Kastam Malaysia Indonesia (PATKOR KASTIMA) 23B/2017 di Pangkalan Marin Kastam Kampung Acheh di sini, semalam.

Turut hadir, Direktur Jenderal Bea dan Cukai Republik Indonesia Heru Pambudi. Operasi yang bermula pada 1994 diadakan dua kali setahun dengan misi untuk membanteras kegiatan penyeludupan di perairan Selat Melaka.

Menurut Subromaniam, bagaimanapun beberapa aspek perundangan perlu dilihat semula terutama membabitkan perkongsian anggota.

“Cuma ada sedikit dari segi isu perundangan yang mana aspek aset kita sudah bersetuju. Bagi perkongsian anggota pula, kita akan lihat aspek yang mana boleh dan mana tidak boleh tetapi secara dasarnya kami bersama-sama sudah bersetuju.

“Kita menjangkakan dalam masa sebulan ini akan bermula (persefahaman) cuma berkaitan perkongsian anggota serta aset itu kita perlu susun di kawasan mana, siapa dan dari segi mekanisma perlu berbincang,” katanya.

Subromaniam berkata, pihaknya menyasarkan 50 peratus pengurangan aktiviti penyeludupan dalam tempoh tiga tahun.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 4:33am
d