mutakhir

Pulang umpama bunuh diri

Oleh Faliq Lajim

Shah Alam: Lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan bantahan mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kerajaan Bangladesh dan Myanmar bagi penghantaran semula etnik Rohingnya, semalam.

Justeru, memorandum bantahan itu akan diserahkan kepada Kedutaan Bangladesh dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Kuala Lumpur, 30 November ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya membantah perjanjian itu berikutan isu etnik Rohingnya dianggap belum selesai sepenuhnya.

“Mereka mahu menghantar lebih sejuta etnik Rohingnya yang ada di Bangladesh pulang semula ke Myanmar.

“Menghantar pulang mereka seolah-olah menghantar untuk ‘disembelih’. Mereka melarikan diri dari Myanmar untuk selamat dan bukannya pulang semula membunuh diri,” katanya pada sidang media mengenai bantahan menghantar pulang etnik Rohingnya ke Myanmar di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (MERHROM) Zafar Ahmad Abdul Ghani dan Duta Majlis Rohingya Eropah (ERC) Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi.

Beliau berkata, pihaknya bersama NGO lain termasuk dari luar negara meminta isu sedia ada diselesaikan terlebih dulu sebelum menghantar pulang etnik berkenaan ke negara asal mereka.

“Kita mahu keselamatan mereka terjamin dan proses ketenteraan turut segera dihentikan.

“Selain itu, kita meminta etnik Rohingnya diberikan pampasan dan hak sebagai warganegara sebelum dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Zafar Ahmad berkata, rakyat Rohingya sudah menderita hampir 70 tahun dalam pembersihan kaum yang dilakukan kerajaan Myanmar.

“Perkara ini perlu dihentikan dan kita meminta Bangladesh memberhentikan serta-merta MoU (memorandum persefahaman) dengan Myanmar itu,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 4:38am
d