mutakhir

Derita penyakit misteri

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Penderitaan penyakit misteri vokalis Panji, Norman atau nama sebenarnya Mohd Nor Husin, 55, mendapat perhatian Pusat Kesenian Warisan (PKW) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menghulurkan sumbangan kepadanya, semalam.

Sumbangan wang tunai RM2,000 disampaikan Penolong Pegawai PSW Hishamuddin Hassan yang berkunjung ke rumah penyanyi kumpulan yang pernah popular dengan lagu Sayap Terluka di Jalan Lembah di sini.

Hishamuddin yang juga pemain gitar bass Panji berkata, kutipan itu dibuat melalui konsep amal tiga generasi PKW bersama penggiat seni Terengganu termasuk penyanyi jalanan sebelum ini.

“Kita berasa terpanggil untuk mengadakan konsert pertama ini sebagai langkah permulaan bagi mencari sumbangan untuk membantu Norman yang kini terlantar sakit.

“Alhamdulillah dalam konsert pertama itu kami berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM2,000 dan hari ini (semalam) saya hadir bersama Fiesha The Buskers untuk menyerahkannya kepada Norman,” katanya.

Menurutnya, PKW sedia untuk bekerjasama sekiranya ada rakan artis lain yang sanggup mengadakan konsert amal untuk Norman selepas ini.

“Norman dan saya serta Rozi selaku pemain drum adalah anggota Panji ketika era 1990-an dan sehingga kini sering dijemput membuat persembahan.

“Saya berasa sangat sedih melihat penderitaan yang dialami Norman yang semakin kurus dan tidak lalu makan akibat penyakit misteri itu,” katanya.

Norman terlantar sakit sejak enam bulan lalu sebelum ini turut dikunjungi rakan artis pada eranya seperti Rahmat Mega, Aju Success, Afee Utopia dan Dwan Olan.

Sementara itu, Penyelaras Konsert Amal Norman, Harun Sidek berkata, pihaknya pada mulanya merancang untuk mengadakan konsert bagi mengutip sumbangan buat vokalis Panji itu dalam masa terdekat.

Menurutnya, pihaknya sudah berbincang dengan Rahmat, Dwan, Acu dan Afee untuk mengadakan konsert di Dungun dan di peringkat awal ini semua meeka itu sudah bersetuju.

“Memandangkan keadaan musim tengkujuh serta hujan yang tidak menentu menyebabkan kami terpaksa menangguhkannya buat sementara waktu.

“Insya-Allah atas kesepakatan semua rakan artis, kita bersetuju akan mengadakan konsert amal ini apabila keadaan cuaca mengizinkan nanti,” katanya.

Norman berkata, dia terharu apabila menerima sumbangan PKW itu dan dikunjungi rakan artis sebelum ini.

Menurutnya, penyakit misteri dihidapinya menyebabkan dia hanya mampu terbaring dan tidak lalu makan serta hanya dapat minum beberapa gelas air sahaja sehari.

“Saya kini perlu berulang-alik ke hospital dan setakat ini doktor masih belum dapat mengesan penyakit yang dihidapi hingga menyebabkan berada dalam keadaan begini.

“Saya juga ada mendapatkan khidmat perubatan tradisional tetapi sehingga kini keadaan kesihatan saya masih tidak berubah,” katanya.

Norman amat berharap sekiranya ada pihak yang pakar untuk mengubatinya dapat membantu merawat penyakit misteri dihidapinya itu.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 7:44am
d