mutakhir

Dibenar tuntut bil terkurang

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, semalam membenarkan tuntutan bil terkurang caj Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM527,728.06 terhadap syarikat Shinobe (Malaysia) Sdn Bhd yang didakwa mengusik pepasangan meter elektrik di premis itu, Ogos 2010.

Hakim Norshila Kamarudin membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan, kilang perusahaan plastik dengan faedah lima peratus dari tarikh penghakiman dan kos mengikut skala.

Dalam penghakimannya, TNB berjaya membuktikan terdapat kesan usikan pada pepasangan meter elektrik ketika kakitangan TNB melakukan pemeriksaan ke kilang berkenaan yang terletak di Jalan Utarid U5/16 Seksyen U5, Shah Alam.

TNB diwakili peguam Mohd Nor Farhan Abd Rahim dan Azriq Ezani Satar Aznee daripada Mohamed Noor, Amran & Yoon yang mengemukakan writ saman pada 8 Ogos tahun lalu selepas pemeriksaan mendapati pengusikan dilakukan pada blok terminal ujian (TTB).

Sementara itu, defendan diwakili A Komathi daripada Gerard Lazarus & Associates.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan selama dua hari pada 10 dan 28 Julai lalu.

TNB mengemukakan empat saksi manakala defendan seorang saksi sepanjang perbicaraan berlangsung.

Dalam penghakiman itu, TNB menunjukkan bukti munasabah bahawa pepasangan meter di premis itu diusik sejak 2008 hingga mengakibatkan kerugian hasil kepada plaintif.

Harian Metro sebelum ini turut melaporkan, TNB memenangi dua tuntutan kes sama membabitkan jumlah kerugian hasil berjumlah RM406,558.12 bagi tempoh bulan ini yang dibicarakan dalam mahkamah berasingan di Pulau Pinang dan Taiping, Perak.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 8:05am
d