mutakhir

Pecutan kaki berdarah

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Bentong: Seorang pemandu lori parah di kaki kiri akibat ditetak seorang daripada empat perompak bersenjatakan parang di depan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, lelaki berusia 30 tahun itu diserang empat perompak terbabit yang dipercayai cuba menyamunnya namun dia melawan untuk mempertahankan diri.

Sumber berkata, sebelum kejadian, seorang daripada perompak terbabit membuka pintu lori menyebabkan mangsa yang sedang tidur terjaga.

“Mangsa yang terkejut kemudian menendang suspek terbabit. Pada masa sama, seorang lagi suspek sempat menetak kaki kiri mangsa menggunakan parang sebelum lelaki itu menghidupkan enjin kenderaan lalu memecut meninggalkan tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan mendapati, mangsa dipercayai tidak menyedari kehadiran empat perompak terbabit kerana tertidur manakala kedua-dua pintu lori tidak berkunci.

Katanya, mangsa gagal mengecam wajah keempat-empat suspek terbabit kerana keadaan gelap dan kejadian berlaku begitu pantas, selain lelaki itu hanya berfikir mahu menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa samun.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong Deputi Superintendan Zainuddin Abdul Hamid ketika dihubungi di sini, berkata, polis masih belum menerima laporan daripada mangsa berhubung kejadian itu.

“Polis meminta mangsa tampil di balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubung kejadian itu bagi memudahkan tangkapan dilakukan,” katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 8:16am
d