mutakhir

Perginya adik Yaya 'tentera'

Oleh Amniera Naziera Amran

NURUL Syahidatul Addawiyah Mainim, 13, remaja menghidap kanser otak tahap empat yang impiannya bergelar 'anggota tentera' direalisasikan Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, 31 Oktober lalu, meninggal dunia, petang semalam.

Arwah yang mesra dipanggil Yaya meninggal dunia di rumah neneknya di Kampung Contoh, Putatan, kira-kira 4.30 petang.

Ibu saudaranya, Sulastri Tongot, 32, berkata, keadaan Yaya mula lemah selepas muntah beberapa kali petang kelmarin.

“Yaya mula muntah kira-kira 6 petang, Rabu. Selepas itu dia semakin lemah dan tidak sedarkan diri. Pagi semalam, dia bertambah lemah dan hanya bernafas perlahan.

“Dia tidak memberi tindak balas ketika dipanggil namanya kecuali mengerang kesakitan.

“Kami reda dengan pemergiannya tetapi tidak akan melupakannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sulastri berkata, sebelum ini Yaya ditahan di hospital selama seminggu dan balik ke rumah pada Ahad lalu.

“Kami bawa dia balik selepas dia selalu minta balik ke rumah. Pada pagi Rabu lalu, dia sempat makan sebelum muntah pada sebelah petangnya dan terus tidak sedarkan diri,” katanya.

Pada 1 November lalu, Harian Metro melaporkan, Yaya, anak bongsu daripada dua beradik yang menghidap barah otak tahap empat, gembira apabila impiannya untuk menjadi ‘anggota tentera darat’ menjadi kenyataan di Markas 5 Briged, Kem Lok Kawi.

Yaya yang bercita-cita menjadi tentera, turut berpeluang memegang senjata dan mencuba alat komunikasi semboyan serta menghantar berita menggunakan peralatan radio, selain dapat melihat demonstrasi tempur tanpa senjata dalam lawatannya itu.

Yaya dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Contoh, Putatan pagi ini.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 11:19am
d