mutakhir

Maserati Levante S kini di pasaran

Oleh Mohd Razlan Salleh

PENGIMPORT dan pengedar rasmi Maserati, Naza Italia Sdn Bhd hari ini, melancarkan Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) mewah Maserati Levante S selepas diperkenalkan kepada umum ketika Pameran Motor Frankfurt, September lalu.

Jentera premium berkuasa turbo berkembar itu dijana enjin 430 kuasa kuda (hp) dengan daya tujah maksimum 580 Nm, dipadankan bersama transmisi ZF lapan kelajuan yang.

Ini membolehkannya mencatat masa 5.2 saat untuk memecut daripada kedudukan 0-100 kilometer sejam (km/j) manakala kelajuan maksimum mencecah 264 km/j.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza World Datuk SM Faisal SM Nasimuddin berkata, SUV terbaru itu menawarkan pemanduan lancar dan berkuasa selain ciri premium yang dimilikinya.

"Saya yakin Levante S bakal menjadi salah satu SUV popular di negara ini," katanya ketika majlis pelancarannya di Desa Park City.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Automotif Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, Datuk Samson Anand George, Pengurus Besar Maserati Asia Pacifik, Amaury La Fonta dan Ketua Pegawai Operasi Naza Italia Sdn Bhd, Farid Sulaiman.

Terdahulu, enjin bersesaran 3.0 liter V6 Suntikan Terus Bahan Api (GDI) itu merekodkan penggunaan bahan api serendah 10.9 liter bagi setiap 100km.

Empat mod pemanduan ditawarkan antaranya Normal, I.C.E., Sport dan Off-road di mana setiap mod akan mengubah karakter enjin, transmisi, suspensi dan ciri elektronik.

Model ini juga dilengkapi Sistem Bantuan Pemanduan Lanjutan (ADAS) dengan fungsi keselamatan aktif antaranya Highway Assist, Lane Keeping Assist, Active Blind Sport Assist dan Traffic Sign Recognition.

Selain menggunakan material lebih ringan, agihan berat ideal 50:50 dan pusat graviti terendah dalam kelasnya menyumbang kepada pengendalian lebih mantap.

Ciri standard lain antaranya suspensi udara, penyerap hentak Skyhook kawalan elektronik dan sistem pacuan semua roda (AWD) Q4 melengkapkan ciri teknikal SUV kategori mewah itu.

Dua varian ditawarkan GranLusso Trim dan GranSport Trim dengan ciri dalaman berbeza.

Ditawarkan pada harga bermula RM788,800 tidak termasuk insurans dengan waranti tiga tahun tanpa had perbatuan.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 3:22pm
d