mutakhir

'Kami tak mahu pasar borong di sini' [METROTV]

Oleh Faliq Lajim

LEBIH 100 penduduk termasuk wakil badan bukan kerajaan (NGO) berkumpul di Tapak Tanah Kerajaan, Jalan Korporat 1A, Persiaran Hamzah Alang, Meru, Klang, hari ini, bagi membantah pemindahan tapak pasar borong di situ.

Bantahan berkenaan bagi menggesa Majlis Perbandaran Klang (MPK) membatalkan projek berkenaan yang mahu menempatkan semula Tapak Pasar Borong Blok C di Kompleks Pasar Besar, Jalan Meru ke kawasan itu.

Pengerusi Rukun Tetangga Meru Barat, Norhamzah Suratman berkata, antara sebab utama bantahan itu dibuat berikutan cadangan pembinaan itu terletak bersebelahan dengan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Meru di Jalan Tap.

"Ia akan mengganggu pembelajaran murid di sekolah ini selain pencemaran udara dan bau.

"Pembelajaran berkesan memerlukan tempat kondusif. Jika pasar didirikan di sini bagaimana mereka hendak fokus," katanya ditemui ketika mengadakan bantahan di Persiaran Hamzah, Meru, hari ini.

Turut hadir Kordinator UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru, Khairul Anwar Saimun.

Norhamzah berkata, kesesakan lalu lintas di kawasan sekitar ketika ini akan bertambah jika pasar itu dibangunkan di situ.

"Bukan itu saja kewujudan pasar akan menyebabkan kebanjiran pekerja warga asing sekali gus menimbulkan keadaan tidak selesa kepada penduduk," katanya.

Norhamzah yang juga mantan Timbalan Yang Dipertua, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Meru berkata, dia sudah meminta tanah berkenaan diberikan kepada pihak sekolah sebelum ini.

"Kita minta tanah ini diberi kepada sekolah. Permohonan itu senyap sehingga sekarang. Tiba-tiba ada notis sebegini untuk diwujudkan pasar," katanya.

Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, bantahan itu bukan untuk menolak sebarang pembangunan namun ia membabitkan soal keselamatan dan keselesaan anak-anak di sekolah itu.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat MPK Norfiza Mahfiz mengakui pembinaan pasar borong itu dalam perancangan MPK.

"Namun, kita beri tempoh kepada pemilik tanah berjiran yang ingin memberi pandangan ke atas cadangan pembangunan ini secara bertulis dalam tempoh 21 hari bermula 20 November lalu.

"Pandangan bertulis hendaklah mengandungi alasan pandangan dan ulasan serta butiran pengadu," katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 4:35pm
d