mutakhir

Tinggal sehelai sepinggang sekelip mata

Oleh Muhamaad Razis Ismail

TIGA keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Kuala Besar, Kota Bharu, pagi tadi.

Dalam kejadian 11 pagi itu, empat motosikal mangsa turut hangus.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu Timbalan Penguasa Bomba Zaini Bidin, berkata pihaknya menerima panggilan pada 11.16 pagi sebelum lima jentera bersama 20 anggota dengan bantuan BBP Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak dan kita terus menjalankan kerja mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

"Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 11.50 pagi," katanya.

Menurutnya, punca kejadian dan jumlah keseluruhan kerugian masih dalam siasatan.

Mangsa, Nurul Faizeniy Afife Razali, 28, berkata, sebelum kejadian, dia bersama suami, Mohd Hafiz Daud, 29, dan dua anak berusia enam dan lapan tahun sedang bersiap untuk keluar bersarapan sebelum dia terhidu asap dan bunyi letupan.

"Saya terus keluar dari bilik dan terkejut melihat rumah jiran sedang terbakar.

"Tanpa fikir apa-apa, saya bersama suami terus keluar dari rumah menyelamatkan diri dan anak sebaik mendengar letupan berkenaan.

"Saya hanya sempat mengambil telefon bimbit, dua tong gas serta melarikan Honda EX5 dan Yamaha Ego kerana api merebak dengan cepat" katanya.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 4:55pm
d