mutakhir

Tanah runtuh: Penduduk Kg Keledang usah bimbang

Oleh Safuri Kamarudin

EMPAT keluarga yang terjejas dengan tanah runtuh di Kampung Keledang, Baling melahirkan rasa gembira apabila pemimpin setempat mengambil tindakan untuk mengatasi masalah itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Datuk Harun Abd Aziz sudah mengarahkan kontraktor untuk melandaikan tebing itu bagi mengelakkan terus berlaku runtuhan.

Beliau berkata, tebing itu akan ditereskan sehingga 10 meter jarak dengan rumah penduduk manakala pokok kayu di atas tebing akan ditebang bagi mengelak tumbang ke rumah.

"Ini langkah awal bagi keselamatan penduduk di situ dan akan merujuk kepada pihak yang arif mengenai struktur tanah.

"Kita akan meminta pihak yang berkenaan memberi cadangan mengenai struktur tanah," katanya selepas membuat tinjauan di kawasan terbabit hari ini.

Harun berkata, Pejabat Daerah juga akan membantu menyelesaikan masalah yang berlaku kepada mangsa yang terbabit di kampung itu.

Mangsa Yusuf Nanyan, 53, berkata, bukan tanah sahaja runtuh tetapi pokok kayu turut tumbang dan bimbang kejadian lebih teruk lagi berlaku.

Menurutnya, tebing belakang rumah setinggi enam meter itu terhakis apabila hujan lebat dan membimbangkan mereka kerana pokok kayu akan tumbang ke rumah pada bila-bila masa.

"Kami enam beranak rasa takut setiap kali hujan lebat terutama pada waktu malam kerana bimbang runtuhan tebing dan pokok kayu yang semakin condong ke rumah.

"Kami tidak ada pilihan lain terpaksa berteduh di sini dan berharap mendapat perhatian segera daripada pihak berwajib," katanya.

Seorang lagi mangsa, Mohd Khuary Hanafi, 41, berkata, selain tanah runtuh bangsal meletak kereta turut dihempap pokok jering tetapi mujurlah mereka enam beranak berada di dalam rumah.

Menurutnya, tebing itu mula runtuh dan terhakis sejak kebelakangan ini apabila hujan lebat berterusan sehingga tiga jam.

Portal Berita Harian Metro semalam melaporkan satu keluarga di kampung Keledang, Baling, cemas apabila sebahagian tebing bukit setinggi hampir enam meter di belakang rumah mereka runtuh, akibat hakisan selepas hujan lebat.

Rumah mereka turut dimasuki air lumpur menyebabkan dinding dapur dan bilik retak dalam kejadian 6 petang itu.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 6:20pm
d