mutakhir

Ada lagi yang kena tipu

Oleh Ahmad Ismail

EMPAT individu di Segamat, Johor menjadi mangsa terbaru sindiket Macau Scam menyebabkan kerugian kira-kira setengah juta ringgit apabila diperdaya ahli sindiket yang menyamar sebagai anggota polis dan kakitangan mahkamah, semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, mangsa termasuk seorang wanita berusia 40 hingga 50-an itu mendakwa mereka terjebak dengan penipuan sindiket selepas menerima panggilan telefon dari nombor 07-9310345 antara 2 hingga 4 petang.

Katanya, mangsa terdiri daripada peniaga, pesara dan suri rumah itu menerima panggilan telefon dibuat seorang lelaki yang mendakwa sebagai kakitangan sebuah mahkamah yang kemudiannya menyambungkan panggilan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Mangsa kemudiannya bercakap dengan seorang lelaki yang mendakwa anggota polis bernama Sarjan Lim.

"Sarjan Lim mendakwa mangsa adalah pemilik akaun bank yang dikenal pasti terbabit dengan aktiviti penggubahan wang haram. Malah ada juga mangsa yang didakwa dikehendaki polis kerana lari daripada menjelaskan hutang kad kredit berjumlah puluhan ribu ringgit sebelum menamatkan perbualan," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Menurut Raub, beberapa minit kemudiannya mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai Asisten Komisioner Kang yang akan menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

"Mangsa akan dikehendaki memindahkan sejumlah wang ke dalam sebuah akaun bank tempatan sebagai tujuan pembersihan nama daripada kegiatan penggubahan wang haram sekali gus mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang dan disenaraihitamkan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai jangan cepat terpedaya atau panik apabila dihubungi individu mendakwa polis atau mahkamah mendakwa mereka membuat kesalahan tertentu.

Menurutnya, orang ramai boleh mencurigai kesahihan dakwaan mereka itu apabila mula meminta bayaran dan nombor akaun bank kerana urusan polis atau mahkamah tidak akan membabitkan nombor akaun bank.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 6:49pm
d