mutakhir

Kaki tersepit di penutup longkang

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung menyelamatkan seorang wanita selepas kakinya tersepit pada besi penutup longkang di sebuah pusat servis kereta di Manjung, petang tadi.

Ketua Operasi BBP Seri Manjung Ismadi Darusman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.05 petang sebelum sembilan anggota bersama jentera bergerak ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati seorang wanita berusia 30 tahun terjatuh dan kaki kirinya tersepit pada besi penutup longkang.

"Kami memotong besi itu sebelum mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit.

"Mangsa luka di kaki dan anggota menghantar wanita terbabit ke Hospital Seri Manjung untuk mendapatkan rawatan dengan jentera Unit Penyelamat dan Paramedik (EMRS)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ismadi berkata, operasi itu mengambil masa lima minit dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.30 petang.

Disiarkan pada: November 24, 2017 @ 7:18pm
d