mutakhir

'Cayala' Adam Salleh

Oleh Najiy Jefri

PENGARANG Berita Harian Metro, Adam Salleh meraih anugerah Kolumnis Hiburan Terbaik pada Anugerah Kewartawanan Industri Filem Malaysia 2017 (AKIFMA 2017) yang berlangsung di Kuala Lumpur, malam tadi.

Adam memenangi kategori itu menerusi artikel bertajuk Masih Mencungap Mengejar RM75 juta yang disiarkan di Harian Metro membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.

Wartawan Berita Harian (BH), Rozdan Mazalan pula memenangi kategori utama, Anugerah Kewartawanan Cemerlang 2017 bersama seorang lagi wartawan Mingguan Malaysia, Abd Aziz Ittar.

Bagi kategori Anugerah Penulis Pojok Terbaik, trofi itu dimenangi wartawan BH, Raja Nurfatimah Mawar Mohamed menerusi artikel bertajuk Beginikah Perilaku Penggiat Seni dalam ruangan Desas Desus.

Kemenangan ini sekali gus menyaksikan Media Prima Berhad memperoleh tiga anugerah dalam majlis pengiktirafan yang menawarkan 12 trofi termasuk tiga untuk kategori khas.

Sementara itu, Anugerah Khas Tokoh Wartawan Hiburan diberikan kepada Fauziah Abd Rauf.

AKIFMA 2017 dinilai barisan juri profesional yang terdiri daripada bekas pengarang akhbar dan majalah.

Sementara itu, Anugerah Wartawan Hiburan Muda dimenangi wartawan The Star, Angelin Yeoh menerusi artikel Murder Most Fowl (Interchange).

Anugerah Kewartawanan Kritikan Filem diraih wartawan Mstar Online, Shazryn Mohd Faizal bagi artikel bertajuk Estetika Dari U-Wei Dalam 'Hanyut'.

Anugerah Kewartawan Filem Terbaik (Media Baharu) digondol wartawan Rojak Daily, Elrafaei Sapi menerusi artikel bertajuk Filem Tempatan Tidak Jelas, Kita Hanya Boleh Buat Filem Darai.

Bagi Anugerah Khas Juri (1) dan Anugerah Kewartawanan Filem Terbaik (Televisyen) dimenangi Pengarang H- Live Astro, Syazwan Zakariah menerusi tajuk rancangan Jomovie.

Anugerah Kewartawan Filem Terbaik (Media Cetak) diperoleh wartawan The Star, Mumtaj Begum dalam artikel bertajuk A Pioneer Filmmaking.

Dalam pada itu, Anugerah Khas Juri (2) dimenangi Penolong Pengarang Hiburan Kosmo!, Tengku Suzana Raja Hamat.

AKIFMA 2017 menampilkan primadona filem Melayu Fauziah Ahmad Daud dan pelawak popular Abam Bocey sebagai pengacara.

Malah artis terkenal seperti Datuk Rosyam Noor, Datuk Seri Eizlan Yusof, Datuk Seri Shah Rezza dan beberapa nama besar dalam bidang kewartawanan hiburan antaranya Saodah Ismail, Sarimah Hussain, Intan Zabidin dan Zubairi Zabidin diundang sebagai penyampai anugerah.

AKIFMA 2017 adalah anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (WHAM) dan disokong Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) .

Dalam pada itu, Pengerusi FINAS, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, majlis terbabit mempertemukan semula nama besar dalam dunia kewartawanan hiburan akhbar dan majalah sejak era 1980-an sehinggalah mereka yang masih bertugas di media popular sekarang.

“Majlis anugerah julung kalinya diadakan ini adalah penghargaan kerajaan melalui FINAS di atas idea, usaha dan aspirasi pihak wartawan sebagai jentera pembangunan industri.

“Impak positif kewartawanan yang kritis dan kreatif secara jangka panjang amat penting bagi membantu kerajaan menjana kepada pembinaan masyarakat yang berilmu dan cintakan industri filem itu sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2017 @ 12:13am
d